Keistimewaan keris dari segi fungsi dan peranannya boleh dibahagikan kepada dua, iatu fungsi pada bentuk fizikal objek keris itu sendiri, dan fungsi penggunaannya. Penghasilan sesuatu budaya benda (termasuk keris) adalah berasaskan kepada keperluan fungsi sesuatu budaya benda berkenaan. Pada dasarnya, bentuk sesuatu budaya benda itu adalah juga dicipta berasaskan keperluan fungsinya. Setiap kewujudan atau penciptaan adalah kerana sesuatu tujuan, sebab, atau hikmah tertentu.
Fungsi keris di Alam Melayu bukan sekadar alat mempertahankan diri atau digunakan dalam pertarungan. Keris adalah sebahagian daripada pemakaian penting seorang sultan atau raja Melayu sebagai lambang legitimasi kerajaan dan kedaulatan baginda. Ia juga digunakan sebagai pelengkap pakaian lelaki, azimat, pelindung diri dan rumah tangga, untuk memperoleh kekayaan, menundukkan manusia, jin dan haiwan, menolak bala, pelaris dagangan.
Keterangan serba sedikit mengenai keris dan rupa bentuknya
Keris Semenanjung
Keris Semenanjung boleh dikatakan keris yang menjadi asas kepada segala bentuk keris yang berasal daripada Tanah Melayu. Rupa bentuk keris ini ringkas serta mudah dikenali. Hulunya menyerupai satu lembaga yang sedang tunduk dan berpeluk tubuh. Selain itu, hulu keris ini juga seringkali dihiasi dengan ukiran-ukiran mujarad dan adakalanya bermotifkan bunga. Sarung Keris Semenanjung ini mempunyai sampir bujur sangkar yang agak besar dan berbentuk segi empat. Sementara batangnya pula lebar, tidak begitu tirus dan mempunyai ‘kasut’ atau ‘buntut’ jalur bujur sangkar. Jika sarung atau sampir keris disalut perak, maka kasutnya akan berbentuk ‘bulat tempurung’.
Keris Pekaka
Keris Pekaka pula sejenis keris yang memiliki rupa bentuk hulunya yang menyerupai kepala burung Pekaka. Lazimnya, hulu keris ini diperbuat daripada kayu dan tanduk. Tetapi ada kalanya logam perak juga digunakan. Jika dikaji dan diperhatikan dengan teliti, kita akan dapati bahawa hulu keris ini juga jika sekali imbas kelihatan seperti salah satu watak dalam cerita wayang kulit. Mata keris ini biasanya lebih panjang daripada keris-keris lain dan bentuknya pula ada yang lurus dan ada yang berlok. Selain itu, keris ini juga dikenali sebagai keris ‘Keris Ta Jong’.
Keris Panjang
Keris Panjang pula keris yang mempunyai bentuk mata yang panjang dan tirus, ada yang lurus dan ada juga yang berlok. Hulu keris ini biasanya diperbuat daripada kayu atau tanduk dan berbentuk bengkok. Kebanyakan hulu Keris Panjang dihiasi dengan ukiran kembangan bunga pada bahagian hujungnya. Selain itu, ada juga hulu keris ini yang berasaskan kepada bentuk ‘tapak kuda’ dan ‘kepala burung’. Sementara itu, sampirnya pula berbentuk jalur bulat seperti buah jering, dengan kedua-dua hujungnya tinggi dan tajam.
Keris Bali
Keris Bali biasanya mempunyai rupa bentuk yang besar dan panjang. Hulu keris ini diperbuat daripada kayu atau gading dan seringkali dihiasi dengan susunan permata yang berwarna-warni. Keris ini jarang menggunakan pendongkok dan hanya dilengkapkan dengan sebentuk cincin logam tebal yang dihiasi dengan permata. Lazimnya, sarung keris ini diperbuat daripada dua belah kayu yang dicantumkan ada adakalanya cantuman ini meliputi bahagian sampir serta bahagian batangnya yang berlainan.
Keris Madura
Keris Madura pada lazimnya mempunyai rupa bentuk hulu yang dihias dengan ukiran bermotifkan bunga yang diperbuat daripada gading. Keris ini juga jarang dilengkapkan dengan pendongkok dan hanya menggunakan sebentuk cincin logam yang dihiasi dengan permata. Sarung keris ini juga diperbuat daripada cantuman kayu dan adakalanya bahagian-bahagian sampir serta batangnya diperbuat daripada gading dan juga logam. Terdapat juga Keris Madura yang hulu dan pendongkoknya bertatahkan permata yang berwarna-warni. Mata keris jenis ini biasanya berkilat dan mempunyai pamur yang bercorak warna putih kelabu dan berlatarbelakangkan tanah yang berwarna kehitaman.
Keris Jawa
Keris Jawa dapat dikenalpasti berdasarkan rupabentuk bahagian hulu dan sarungnya, terutamanya pada bahagian sampirnya. Hulu keris ini biasanya diperbuat daripada kayu dan berbentuk bengkok pada hujungnya dan adakalanya ia menyerupai bentuk Jawa Demam. Selain itu, hulu keris ini juga dilengkapkan dengan sebentuk cincin yang diletakkan pada bahagian bawah pendongkok dan dikenali sebagai ‘selut’. Pada bahagian sarung keris ini pula, ukuran batangnya tidak begitu lebar tetapi tirus serta berbentuk bulat di bahagian pangkalnya.
Keris Bugis
Keris Bugis pula biasanya dikenalpasti berpandukan kepada rupa bentuk hulu, sampir dan buntutnya yang diperbuat daripada kayu atau gading. Sampir keris ini mempunyai bentuk yang hampir serupa dengan sampir Keris Semenanjung tetapi lebih bulat dan lebih tajam. Adakalanya hulu keris ini juga diukir dalam bentuk Jawa Demam, tetapi telah diubahsuai menjadi lebih ringkas. Identiti yang paling jelas bagi Keris Bugis ini ialah keadaan kasut atau buntutnya yang berbentuk mata kapak.
Keris Sundang
Keris Sundang mempunyai rupa bentuk hulu, mata dan sarung yang berukuran lebih besar berbanding dengan jenis-jenis keris yang lain. Matanya, sama ada lurus atau berlok adalah lebih panjang, lebih tebal dan lebar. Hal ini adalah kerana keris ini digunakan untuk menetak atau mengibas dan bukannya untuk menikam. Hulu keris jenis ini biasanya diperbuat daripada gading atau kayu, berbentuk bulat dan panjang serta dihiasi dengan susunan simpai daripada tali atau logam. Terdapat juga hulu keris jenis ini mempunyai bentuk ‘Kepala Burung Garuda’ dan dihias dengan susunan logam perak. Keris ini juga dikenali sebagai Keris Sulok.
Sebelum disahkan hamil, apa yang berlaku?
6 years ago