SENI SILAT TARI WARISAN PURBA MELAYU

  • Monday, July 4, 2011
  • Senjata Tradisi
  • Seni Silat Pulut adalah merupakan permainan silat turun temurun dari warisan nenek moyang kita. Sejarah mengenainya tidak begitu jelas, namun terdapat 3 teori yang menyebut tentang sejarah silat ini. Sebenarnya perkataan ‘pulut’ hanyalah merujuk kepada permainan yang dikaitkan dengan pulut. Namun pelbagai jenis dan aliran silat boleh bermain sekiranya ia mempunyai permainan tapak empat. Salah satunya Perguruan Seni Silat Tari Warisan Purba Melayu.
    Seni Silat Tari Warisan Purba Melayu merupakan aliran Silat Melayu yakni silat tempatan atau Seni Silat Melayu Tradisi Semenanjung dari yang serumpun dan sebenih dengannya, seperti yang diamalkan oleh masyarakat Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan daerah yang sempadan dengannya, dikenali sebagai Silat Pulut atau Gayung Patani.Seni Silat Tari Warisan Purba Melayu telah berjaya meningkatkan mutu pendidikan silat tradisi gelanggang bangsal kepada kurikulum silat yang telus dan setara serta mengekalkan keaslian Silat Melayu versi Malaysia.

    Seni Silat Melayu telah wujud sebelum kehadiran pengaruh luar di alam Melayu yang dikenali sebagai Ilmu Hulubalang atau Ilmu Perajurit yang menjadi penting untuk mengukuhkan pertahanan kerajaan Melayu tradisi seperti kerajaan Melayu Champa, Kemboja, Langkasuka, Kedah Tua dan Pattani yang meliputi Semenanjung Tanah Melayu.

    Sejak kejatuhan kerajaan Melayu Tradisi di Semenanjung, silat telah terpinggir daripada istana dan pertahanan negara telah diperkenalkan dengan sistem pertahanan barat. Perajurit dan pahlawan telah kembali ke desa dan terus mengembangkan Ilmu Seni Perang Melayu atau institusi pendidikan kepahlawaan Melayu. Bagi mengelakkan ilmu kepahlawanan itu daripada pengetahuan penjajah lalu dijadikan satu permainan tradisi yang didalamnya terdapat serang dan beladiri, dinamakan Silat.

    Oleh sebab silat ini diamalkan oleh orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan daerah yang bersempadan dengannya, maka dinamakan Silat Melayu. Oleh sebab ramai ulama yang mengajarkan silat terdiri daripada orang Pattani yang berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu maka Silat Melayu tersebut dikenali sebagai Silat Patani.

    Seni Silat Tari Warisan Purba Melayu, mengangkat kembali Seni Silat Pulut & Tari dalam pembelajarannya. Dengan Mengikuti Tradisi & Adat lama, murid haruslah mempelajari TARI SILAT dahulu dengan mahir sebelum boleh mempelajari ilmu pencak beladiri. Walaupun Seni Silat Tari Warisan Purba Melayu, menerapkan kepada tari malah tidak lupa pada Penchak Silat Beladiri yang mana akan di terapkan juga kepada pengamal atau murid kami supaya mereka lebih memahami bahawa ‘Dalam Tari Ada Buah’.

    Perguruan yang diasaskan oleh Cikgu Ahmad Hazuan, kerana beliau melihat makin pupus silat tradisi yang mana Silat Tari ini makin tertinggal jauh berbanding dengan Silat Kombat yang mana semakin popular di masa sekarang. Dengan kesedaran itu, beliau telah mengumpulkan beberapa jenis-jenis tari silat melayu dan langkah-langkahnya dan menjadikan satu kokurikulum yang padat dan ringkas berdasarkan kandungan pelajaran Silat Melayu Lama.
    Text ini diambil dari:

    Blog Akademi Senibeladiri

    0 comments:

    Post a Comment